BALIK PULAU, 22 Okt: Polis menyerbu sebuah premis di Bayan Baru yang dijadikan pusat panggilan bagi sindiket pelacuran antarabangsa yang beroperasi secara dalam talian, Jumaat lalu.
Pada operasi kira-kira 5.30 petang itu, seramai 11 individu iaitu lima lelaki dan enam wanita tempatan berusia 21 hingga 65 tahun turut diberkas.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, serbuan di tingkat tiga bangunan pusat komersial berkenaan dibuat selepas pihaknya menerima aduan awam dan membuat risikan selama dua hari.
Katanya, sindiket terbabit didapati menjadikan premis itu sebagai pusat panggilan kegiatan pelacuran dalam talian yang beroperasi di Australia sejak Disember 2021.
“Mereka yang ditahan adalah operator di pusat panggilan itu yang berperanan sebagai orang tengah termasuk mempromosi dan mengiklan kegiatan pelacuran yang menyasarkan pelanggan di Australia.
“Sindiket didapati berselindung di sebalik perniagaan teknologi maklumat (IT) yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya di sini hari ini.
Tambah beliau, pekerja di pusat panggilan itu berperanan menjalankan urus niaga pelacuran melalui sebuah laman web yang beroperasi 24 jam sehari dan pekerja bertugas dua shif.
“Pekerja akan menerima bayaran gaji antara RM3,000 hingga RM8,000 sebulan dan pusat panggilan dipercayai menerima kira-kira RM30,000 sehari atau boleh mencecah RM900,000 sebulan.
“Siasatan turut mendapati, pelacur akan membayar komisyen kepada sindiket bagi setiap urus niaga pelacuran dengan bayaran bagi perkhidmatan itu antara AUD200 (RM602) hingga AUD3,000 (RM9,030),” katanya lagi.
Tambah beliau, dalang utama iaitu lelaki berusia 33 tahun yang turut ditangkap bersama ibunya berusia 65 tahun didapati pernah bekerja di negara berkenaan selain sering ke sana dengan kali terakhir pada Julai lepas.
Katanya, polis merampas 161 buah telefon bimbit, monitor (11), modem (empat) dan unit pemprosesan pusat (CPU) (lapan) bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek telah direman selama enam hari sehingga 26 Oktober depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 372(1)(e) dan Seksyen 372(1)(f) Kanun Keseksaan. – TVS