Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Suraji Ali ketika ditemui TVS di bengkel perabot miliknya di Kampung Jepak, hari ini. Foto: Hafeezzur Muzamir (TVS)

Kayu terbuang jadi punca pendapatan sara keluarga

ByHafeezzur Muzamir

JEPAK, 22 Okt: Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Peribahasa ini sesuai ditujukan kepada Suraji Ali yang tidak berputus asa mencari rezeki untuk menyara keluarganya.

Enggan terus mengeluh kerana pendapatan sebagai pemandu bot penambang sebelum ini tidak cukup untuk menampung perbelanjaan harian keluarga, bapa berusia 55 tahun ini mendapat idea untuk mengutip sisa kayu palet terbuang.

Suraji memanfaatkan kemahiran bertukang apabila ‘mentransformasikan’ kayu palet itu menjadi perabot serta perhiasan rumah seperti kerusi, meja makan, rak serta perhiasan dinding.

“Sejak 10 tahun lepas, saya mula menghasilkan perabot dan perhiasaan rumah.

“Alhamdulillah, produk yang dihasilkan dibeli oleh orang kampung,” katanya kepada TVS ketika ditemui di bengkelnya di Kampung Jepak hari ini.

Ditanya perbezaan kehidupan sebelum menjual perabot, Suraji berkata, dahulu upah yang diterimanya hanya sekadar cukup makan sahaja.

“Waktu yang paling mencabar ketika kempat-empat anak masih bersekolah, saya fikir macam mana hendak tambah pendapatan bagi menampung perbelanjaan mereka.

“Ketika itu gaji saya hanya untuk mereka, keperluan lain terpaksa diketepikan.

“Sekarang ini Alhamdulillah dapat menyara keluarga dan kesemua anak berjaya menyambung pengajian hingga peringkat diploma,” katanya.

Sepanjang 10 tahun menghasilkan perabot, Suraji berkata, dia juga berdepan cabaran pada mulanya.

“Sebenarnya dahulu, ada yang persendakan saya kerana kutip kayu terbuang namun ia tidak mematahkan semangat untuk mencari rezeki,” katanya.

Katanya, jualan perabot yang dikumpul itu kemudian dijadikan modal untuk membuka gerai makanan dan bercucuk tanam.

Sementara itu ditanya pendapat tentang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak, Suraji berkata, dia berharap wakil rakyat baharu yang terpilih akan sentiasa membantu penduduk.

“Saya tidak mahu bantuan kewangan namun lebih memerlukan mesin dan perkakas untuk menghasilkan perabot.

“Sebelum ini saya sudah beberapa kali memohon namun masih belum ada rezeki,” katanya.

Suraji mengakui mengakui Kerajaan Sarawak sentiasa menawarkan bantuan daripada pelbagai agensi namun dia berharap proses itu akan dipermudahkan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan