BINTULU, 21 Okt: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menyaksikan pertandingan tiga penjuru.
Pertandingan membabitkan bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Iskandar Turkee dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), bekas anggota polis, Stevenson Joseph Sumbang dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan ahli perniagaan Chieng Lea Phing dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI).
Pengumuman dilakukan Pegawai Pengurus PRK Jepak, Abang Zainuddin Abang Turkey pada 10.30 pagi di Pusat Penamaan Calon di Dewan Suarah Bintulu hari ini.
Terdahulu, Abang Zainuddin mengumumkan SPR menerima kertas penamaan pencalonan daripada tiga calon berkenaan dengan tidak ada pencalonan ditolak.
SPR menetapkan tempoh berkempen 14 hari bermula hari ini sehingga 11.59 malam 3 November dengan pengundian awal pada 31 Oktober dan hari mengundi pada 4 November.
Namun, SPR memaklumkan tiada pusat mengundi awal akan dibuka pada Hari Pengundian Awal PRK Jepak, pada 31 Oktober.
Ini kerana pengundi awal yang melibatkan seramai 43 anggota polis yang layak mengundi pada pada PRK Jepak akan mengundi menggunakan sistem undi pos.
PRK Jepak diadakan selepas penyandangnya, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip meninggal dunia pada 15 September lalu.
Seramai 22,804 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing, termasuk 43 anggota polis dan tiada pengundi tidak hadir luar negara. – TVS