PALOH, TANJUNG MANIS, 21 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) yakin dengan kemampuan calonnya, Iskandar Turkee dalam meneruskan legasi pembangunan untuk rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Abdullah Saidol berkata, anak jati kelahiran Jepak itu, seorang calon yang baik dan memiliki keazaman tinggi untuk menyambung usaha Allayarham Datuk Talip Zulpilip di kerusi DUN itu selama 30 tahun.
Malah katanya, Iskandar juga mempunyai kemampuan dan pengalamannya yang luas dalam kegiatan sosial masyarakat.
“Saya melihat calon baharu ini begitu berazam dari aspek modal insannya berdasarkan pengalaman beliau dalam Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk membina masyarakat yang berkualiti terutama sekali dalam kalangan warga muda.
“Namun sepanjang kempen nanti, kita tidak akan bersikap sambil lewa sebaliknya, akan berkongsi tentang perancangan kerajaan dan sikap proaktif pemimpin kita yang memperkenalkan pelbagai inisiatif baharu melalui teknologi dan ekonomi digital,” katanya kepada media di sini, semalam.
Beliau juga optimis DUN Jepak mempunyai masa depan yang cerah berikutan usaha yang sedang giat dilaksanakan kerajaan di kawasan itu termasuk pembinaan Jambatan Kemena dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) selain kerancakan aktiviti komersial.
“Saya yakin masyarakat Jepak akan memberikan sokongan yang baik kepada calon ini,” ujarnya.
Bekas Pengarah AADK yang berusia 54 tahun itu memiliki kelulusan Sarjana Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Selain Ahli Panel Majlis Sosial Sarawak beliau juga merupakan Ahli Majlis Perpaduan Sarawak, Jawatankuasa Induk Pusat Sehenti Komuniti (Menangani Isu Dadah Sarawak) dan Ahli Jawatankuasa Induk Persatuan Pencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Sarawak.
Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip berada di kerusi itu selama enam penggal dan kali terakhir mempertahankannya 2021 dengan majoriti 4,243 undi. – TVS