IPOH, 20 Okt: Tindakan seorang lelaki membawa pisau ketika mahu menyaksikan perlawanan bola sepak Piala Malaysia antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Perak FC di Stadium Perak di sini mengundang padah apabila dia ditahan polis semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan berkata, suspek berusia 31 tahun itu ditahan semasa pemeriksaan keselamatan di Pintu B stadium kira-kira pukul 8.45 malam.
“Lelaki itu didapati membawa sebilah pisau pendek sebelum dia ditahan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
“Suspek direman dua hari bermula hari ini dan telah memperoleh arahan pertuduhan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk dituduh pada 23 Oktober (Isnin),” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dalam perkembangan lain, Yahaya berkata, pihaknya turut menahan seorang lelaki berusia 25 tahun kira-kira pukul 11.15 malam di stadium berkenaan kerana menghalang tugas polis dan mengeluarkan kata-kata kesat.
“Dia telah didenda sebanyak RM1,500 di Mahkamah Ipoh hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Ujian saringan air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis ganja,” katanya lagi.
Ujar beliau, insiden itu tular sejak pagi tadi selepas satu rakaman video mengenai tangkapan seorang penyokong bola sepak di Stadium Perak ketika menyaksikan perlawanan berkenaan dimuat naik ke laman sosial X (Twitter).
Perlawanan separuh akhir pertama Piala Malaysia itu menyaksikan JDT membenam pasukan tuan rumah dengan jaringan gol 4-0. – TVS