BINTULU, 20 Okt: LONGi Malaysia mengadakan majlis pecah tanah hari ini untuk loji baharunya bernilai RM1.3 bilion, terletak di tapak seluas 125 ekar (50 hektar) di Taman Perindustrian Samalaju (SIP) di sini.
Ia dirasmikan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) Datuk Arham Abdul Rahman berkata pelaburan besar untuk loji tersebut menekankan kedudukan Malaysia sebagai hab utama untuk pembuatan ekosistem solar yang komprehensif.
“Ia juga menjadi bukti kepada keyakinan syarikat terhadap keupayaan tenaga kerja tempatan kita, termasuk jurutera dan juruteknik yang berkemahiran tinggi.
“Kami berharap usaha perintis LONGi akan menjadi contoh yang baik kepada seluruh industri, memberi inspirasi kepada orang lain untuk mengikut jejaknya dan menyumbang kepada pertumbuhan dan kejayaan kami secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan.
Projek itu merupakan kilang pembuatan solar pertama di SIP di sini. Projek pembuatan monokristal Bintulu itu meliputi kawasan seluas 125 ekar, dengan unjuran pelaburan sebanyak RM1.3 bilion.
LONGi berkata SIP dipilih kerana berdekatan dengan pembekal bahan mentahnya dan pelabuhan laut dalam serta tanah perindustrian yang mampu milik dan bersaiz besar.
“Ia akan mempunyai kapasiti 6GW atau bersamaan untuk menghasilkan 13,000 tan metrik setahun. Pengeluaran dijangka bermula pada suku pertama 2024.
“Projek baharu itu akan menggaji 1,213 pekerja baharu, dan sekurang-kurangnya 90 peratus daripadanya akan diisi oleh penduduk tempatan dan 20 peratus akan memenuhi jawatan dalam sains, teknologi dan kejuruteraan,” katanya. – TVS