KUCHING, 21 Okt: Anugerah Tinta Kenyalang 2023 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak berperanan sebagai penanda aras dan berprestij kepada penulis-penulis di Bumi Kenyalang.
Ketua Pengarah DBP, Dr Hazami Jahari menyifatkan sumbangan penulis dan pemikir amat berharga dalam memastikan agenda pembangunan negara bergerak ke hadapan sekali gus mampu mencerdikkan pemikiran rakyat.
“Saya mengharapkan selepas ini DBP dan rakan karyawan kita terus menyumbang penulisan yang dapat membantu membina negeri kita dan secara umumnya pembinaan negara kita.
“Sumbangan penulis dan pemikir sangat penting untuk memastikan agenda pembangunan negara khususnya di Sarawak akan dapat berjalan serentak.
“Maka sumbangan para karyawan memajukan pemikiran rakyatnya yang akhirnya dapat memandaikan rakyat kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Tinta Kenyalang 2023 di Balai Budaya DBP Cawangan Sarawak dan Pelancaran Peraduan Penulisan Semula Cerita Rakyat Pelbagai Kaum dan Pencalonan Anugerah Sastera Negeri Sarawak ke-11 pada Jumaat malam.
Sementara itu, Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Abang Haliman Abang Julai menyifatkan platform ini mampu menggalakkan lagi minat berkarya dalam kalangan penulis terutamanya golongan muda.
“Dengan adanya majlis penyampaian seperti ini, diharapkan dapat menggalakkan minat terhadap penulisan kreatif dan bukan kreatif dalam kalangan penulis dan juga kepada para pelajar yang baharu hendak berjinak-jinak dalam dunia penulisan,” jelasnya.
Untuk rekod, lima jenis anugerah disampaikan pada majlis tersebut iaitu Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2023, Hadiah Sastera Tunas Sarawak (HSTS) 2022/2023, Sayembara Penulisan Cerpen Kearifan Tempatan Sarawak, Sayembara Penulisan Sajak 60 Tahun Sarawak Merdeka dan Hadiah Sastera Penulis Sarawak (HSPS) 2022/2023.
Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak 2023 dimenangi oleh Sekolah Menengah (SM) Teknik Sejingkat bagi kategori sajak, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Permaisuri Miri bagi kategori cerpen dan SMK Baru Miri bagi kategori esei.
Bagi HSTS 2022/2023, ia terbahagi kepada kategori sajak dan cerpen dan setiap kategori dimenangi tiga pemenang yang masing-masing membawa pulang RM300, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan (sajak) serta RM500, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan (cerpen).
Sayembara Penulisan Sajak 60 Tahun Sarawak Merdeka dimenangi oleh Ahmad Tajuddin Ismail dengan karya bertajuk ‘Margastua’ manakala Sayembara Penulisan Cerpen Kearifan Tempatan Sarawak dimenangi oleh Frankie Latit dengan karya bertajuk ‘Kalau Sahaja Saya Mampu Kendurkan Keluh Kesah-Mu, Ini Ungkok’.
HSPS 2022/2023 bagi kategori sajak dan cerpen, dimenangi lima pemenang (bagi kedua-dua kategori) dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM700, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan (sajak) serta wang tunai RM1,000, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan (cerpen).
Untuk kategori esei kritikan bagi HSPS 2022/2023 dimenangi oleh enam pemenang yang menerima wang tunai sebanyak RM1,000, buku terbitan DBP dan sijil pengiktirafan. – TVS