Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Abdullah Saidol meninjau projek jeti sambil menyantuni peduduk di Kampung Berangan, semalam. Foto: TVS

Abdullah harap peruntukan pembangunan luar bandar Sarawak ditambah dalam Bajet 2024

PALOH, TANJUNG MANIS, 21 Okt: Kerajaan Sarawak diharap menambah peruntukan dalam belanjawan tahun depan, bagi membantu kesinambungan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan seterusnya, memacu kemajuan kawasan pedalaman dan luar bandar negeri ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol berkata, kawasan itu masih memerlukan peruntukan besar bagi pelaksanaan pelbagai projek prasarana untuk kemudahan awam sekali gus meransang pertumbuhan ekonomi yang lebih besar dan sejahtera.

Abdullah optimis, melalui kebijaksanaan pimpinan dan peningkatan perolehan pendapatan negeri, hasrat itu akan menjadi kenyataan.

“Kemudahan awam seperti jalan dalam kampung, jeti, baik pulih dewan dan sebagainya masih perlu dilakukan. Walaupun Kerajaan Persekutuan ada menyalurkan peruntukan namun ia masih belum mencukupi.

“Namun saya yakin melalui kebijaksanaan pemimpin kami di Sarawak, dengan penambahan pendapatan, sebahagian besar peruntukan itu akan terarah ke kawasan pedalaman,” katanya ketika melakukan tinjauan ke atas projek pembinaan jeti di Kampung Berangan di sini, semalam.

Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop memberi jaminan bahawa kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek rakyat termasuk di kawasan Paloh, Berangan dan Kedang yang belum mempunyai kemudahan jalan raya dan hanya boleh dihubungi melalui sungai.

“Saya difahamkan, sejumlah peruntukan yang besar telah diluluskan untuk pembinaan jalan raya yang bakal menghubungkan kawasan ini dengan luar.

“Ini satu khabar yang menggembirakan kerana bukan sahaja memberi manfaat besar dalam jangka panjang tetapi melonjakkan lagi potensi kawasan ini sebagai pusat pengeluaran makanan dan ternakan haiwan seperti lembu dan kambing,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdullah memuji sikap bekerjasama penduduk Berangan membina jeti untuk kemudahan mereka.

Projek yang menggunakan peruntukan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang bernilai hampir RM100,000 itu katanya, dibina secara gotong-royong oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Berangan dengan dibantu oleh komuniti dari enam rumah panjang di kawasan tersebut.

“Ini adalah contoh projek gotong-royong yang baik dan bertanggungjawab yang dilaksanakan oleh mereka sendiri. Saya berharap usaha ini dicontohi oleh JKKK lain khususnya dalam membantu pelaksanaan projek kecil dan sederhana di kawasan masing-masing,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan