IPOH, 20 Okt: Tiga wanita terkorban selepas dirempuh sebuah kereta ketika mahu membantu mangsa kemalangan jalan raya di Kilometer 390, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara di Behrang di sini, pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang itu, mangsa, Fatihah Nabila Bukri, 23, dan Taibah Sulaiman, 61, maut di lokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa, Nurul Najihah Amzi, 27, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Slim River dekat sini.
Difahamkan, ketiga-tiga mangsa merupakan anggota Dewan Muslimat Pas yang sedang dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah selepas menghadiri Muktamar Pas di Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, kejadian berlaku selepas sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton yang dipandu lelaki berusia 39 tahun hilang kawalan sebelum berpusing dan terbalik ke dalam longkang di kiri jalan.
Katanya, susulan kemalangan itu, tiga wanita berkenaan memberhentikan kereta jenis Toyota Fortuner dinaiki mereka di lorong kecemasan untuk memberikan bantuan.
“Dua penunggang motosikal dan pemandu kereta jenis Perodua Myvi turut berhenti bagi membantu.
“Namun, lima minit kemudian, sebuah kereta jenis Toyota Altis dipandu lelaki berusia 30 tahun dari arah sama di lorong kanan dikatakan hilang kawalan sebelum terlanggar keenam-enam mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kemalangan itu menyebabkan kesemua mangsa iaitu tiga wanita dan tiga lelaki terhumban ke dalam longkang di kiri jalan.
“Dua wanita meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi di hospital.
“Mangsa lain hanya mengalami cedera ringan dan menerima rawatan lanjut,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS