GAZA, 20 Okt: Kementerian Kesihatan Gaza mengesahkan, empat hospital tidak dapat beroperasi sepenuhnya susulan serangan udara Israel, lapor agensi berita Jordan, Petra.
Empat hospital berkenaan Beit Hanoun, Al-Durra, Al-Karama dan Al-Oyoun International Hospital.
“Kesemua hospital berkenaan dipenuhi pesakit dengan ada di antara pesakit yang terpaksa tidur di lantai dan koridor.
“Bekalan ubatan habis digunakan, tiada bekalan yang tinggal malah bahan api juga kehabisan,“ kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
Justeru, ia menyeru masyarakat antarabangsa dan kumpulan kemanusiaan untuk menyegerakan kemasukan keperluan perubatan kecemasan ke hospital di Semenanjung Gaza.
Pada masa sama, ia juga menyeru semua pihak berkuasa berkaitan untuk melindungi pasukan perubatan, hospital, ambulans dan tempat perlindungan bagi rakyat yang dipaksa oleh rejim zionis meninggalkan rumah mereka.
Lebih 3,785 rakyat Palestin terbunuh manakala lebih 12,000 yang lain cedera dalam serangan udara Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober lepas. – TVS