PALOH, TANJUNG MANIS, 20 Okt: Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak), Datuk Abdullah Saidol menggesa tindakan segera bagi memastikan proses pembelajaran murid Sekolah Kebangsaan (SK) Orang Kaya Muda Pakeri Paloh tidak terjejas.
Beliau berkata, pelbagai alternatif lain sedang diusahakan bagi menampung keperluan hampir 200 orang murid termasuk guru dan kakitangan sekolah apabila bangunan sedia ada terpaksa ditutup selepas diklafikasikan sebagai tidak selamat.
Menurutnya, sekolah tersebut satu-satunya sekolah untuk kemudahan masyarakat tiga penempatan besar di kawasan yang hanya dapat dihubungi dengan pengangkutan sungai.
“Kerosakan struktur bangunan ini bukan baharu malah keretakan dinding dan lantai yang dikesan, dilaporkan beberapa kali kepada pihak berkaitan sejak beberapa tahun lepas.
“Jelas sekali hasil kerja kontraktor tersebut adalah tidak berkualiti dan perunding serta agensi pelaksana gagal memantau projek sekolah ini dengan baik,” katanya kepada media ketika mengadakan tinjauan ke atas bangunan sekolah itu, hari ini.
Dalam kunjungan itu, Abdullah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkesempatan mengadakan perbincangan dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), berhubung langkah penyelesaian sementara yang akan dilaksanakan.
Menurutnya, ketika ini, murid yang tinggal di asrama terpaksa pulang ke rumah masing-masing kerana bangunan itu akan digunakan sebagai kelas sementara manakala, bilik guru dan kakitangan sekolah juga terpaksa dipindahkan.
“Bagaimanapun, ini hanya langkah sementara. Saya berharap dengan sokongan Ahli Parlimen Tanjong Manis, Yusuf Abd Wahab, bagi mendapatkan peruntukan segera untuk pembinaan bangunan sekolah yang baharu.
“Jika keseluruhan bangunan sekolah diroboh, maka pembinaan sekolah baharu mungkin mengambil masa paling kurang dua tahun. Isu yang perlu diambil perhatian dan tindakan segera ialah pembinaan pondok atau bangunan sementara untuk menempatkan kelas murid supaya mereka dapat meneruskan sesi pembelajaran dengan selesa.
Abdullah juga meminta supaya kementerian berkaitan agar tidak terlalu mementingkan birokrasi dalam proses menyelesaikan isu baik pulih sekolah usang yang turut dialami kebanyakan sekolah di kawasan pedalaman.
“Jika Kerajaan Persekutuan serius ingin melahirkan dan membina rakyat Malaysia Madani, mereka harus mulakan agenda itu dengan pembinaan kemudahan dan suasana sekolah yang terbaik demi pembentukan rakyat Malaysia yang berkualiti.
“Jangan terlalu sibuk dengan pelbagai inisiatif bantuan jangka pendek yang sebahagiannya yang hanya untuk meraih populariti politik,” katanya. – TVS