BINTULU, 20 Okt: Calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Iskandar Turkee meminta para penyokong yang akan hadir pada Hari Penamaan Calon Pilihan Raya (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada Sabtu ini agar menjaga sikap dan mengelak melakukan provokasi bagi memastikan semuanya berjalan lancar.
Menurut Iskandar, pihaknya meminta penyokong yang berhasrat menyertai perarakan ke pusat penamaan calon supaya menjaga sikap bagi mengelakkan tercetusnya kejadian tidak diingini.
“Kita mohon agar semua penyokong bersikap profesional, tenang dan jangan terlampau emosi.
“Saya percaya penyokong GPS matang oleh kerana sudah pernah melalui banyak pilihan raya sebelum ini. Kita yakin mereka adalah orang yang berhemah dan akan menunjukkan sokongan dengan cara yang betul kepada kita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau sesi simulasi untuk Hari Penamaan Calon PRK DUN Jepak yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) di Dewan Suarah Bintulu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persediaan pihaknya dalam menghadapi PRK, Iskandar berkata, semuanya sudah dipersiapkan dan hanya menunggu masa untuk dilaksanakan apabila kempen bermula.
“Kita telah bersedia, jentera dah bersedia, esok sebaik sahaja disahkan pencalonan, gerak kerja akan digerakkan oleh semua parti komponen dalam GPS,” ujarnya.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
Allahyarham Talib menyandang kerusi itu selama enam penggal dan kali terakhir mempertahankannya menerusi Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021 dengan majoriti 4,243 undi. – TVS