Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Penggemar kupang, Duraman Bakar menunjukkan kupang yang ingin dibelinya. Foto: TVS

Musim kupang di Limbang, diminati hingga Brunei

LIMBANG, 20 Okt: Musim kupang yang melanda Limbang sejak tiga bulan lalu disifatkan sebagai lubuk rezeki bagi para peniaga di sini.

Selain menjual sayur-sayuran dan buah-buahan, mereka memanfaatkan hasil laut itu bagi menambah sumber rezeki masing-masing dalam menyara keluarga.

Menurut salah seorang peniaga kupang, Sari Sulaiman, 62, kupang pada masa ini mendapat permintaan tinggi daripada pembeli bukan saja di Limbang malah di negara jiran, Brunei Darussalam dan Wilayah Persekutuan Labuan selain Daerah Lawas.

Jelasnya, sejak berjual kupang tiga bulan lalu beliau boleh meraih pendapatan lebih RM2,000 setiap hasil jualan kupang sahaja.

“Kupang di Limbang memang laris, memang banyak orang yang jual kupang dan mereka memang sudah mengetahui peniaga yang sudah lama berjual kupang di Limbang.

“Kupang ini memang sedap, kalau rajin kita boleh kopek kupang dan paling diminati adalah budu kupang kerana rasanya yang sedap. Oleh sebab itu, saya menjual kupang bukan saja di Limbang tetapi juga dihantar ke Labuan, Brunei dan Lawas. Ini adalah cara kita mencari pendapatan untuk sesuap nasi,” katanya ketika ditemui TVS di Bangunan Tamu Limbang di sini, hari ini.

Berkongsi teknik mencari hasil laut itu, kupang dicari ketika air surut dengan menggunakan sauk atau jaring.

Jelasnya, bukan mudah untuk menanggalkan kupang kerana ia sudah melekat terlalu kuat serta kupang perlu dibersihkan daripada batu karang, lumpur dan tanah yang melekat padanya sebelum dijual.

Katanya, kerja mengikis batu karang dan lumpur melekat pada kupang harus dilakukan dengan teliti bagi mengelakkan cengkerang kupang terkopek atau pecah.

Sari memberitahu lagi kupang segar mendapat permintaan tinggi terutama penggemar menu kupang untuk dibuat budu (pekasam) kupang dan dimasak air untuk mengekalkan keasliannya.

Kupang yang sudah dikopek menurut Sari dijual dengan harga RM6 sebungkus, manakala kupang yang sudah dibuang tanah dijual dengan harga RM5 sebakul kecil dan kupang yang masih bertanah di jual pada harga RM2 sebakul kecil.

Sementara, menurut pembelinya, Rosli Amat dari Kampung Patiambun mengakui kupang amat popular di Limbang dan menjadi pilihan pembeli bukan saja di Limbang termasuk negara jiran, Brunei setiap kali musimnya tiba.

Justeru itu, beliau juga tidak melepaskan peluang untuk turun ke Tamu Jumaat bagi mendapatkan kupang untuk dimasak kerana rasanya yang sedap dan segar.

“Kupang ini istimewa untuk penduduk kampung di daerah Limbang dan sekitarnya, sebab bukan senang untuk mendapatkan kupang ini kerana ia bermusim.

“Saya turun ke Tamu Jumaat hari ini semata-mata untuk mendapatkan kupang, masak air pun sedap,” katanya lagi.

Seorang lagi pengemar kupang, Duraman Bakar dari Kampung Seberang Kedai berkata, selain buah-buahan dan sayur-sayuran, kupang antara pilihan utama yang dicari di Tamu Jumaat.

Jelasnya, kupang amat jarang ditemui dan hanya dijual ketika musimnya yang melanda Limbang sekarang.

“Pada masa ini Limbang dilanda musim kupang. Kupang ini adalah makanan tradisi orang di sini, rasanya enak walaupun hanya dimasak begitu saja,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan