KUALA LUMPUR, 20 Okt: Seramai 136 warga asing yang berumur antara 20 hingga 70 tahun ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen atas pelbagai kesalahan.
Penahanan itu susulan serbuan menerusi Operasi Bersepadu di kondominium di Jalan Munshi Abdullah di sini, kira-kira 1 pagi tadi.
Mereka yang ditahan terdiri daripada 45 orang warga Indonesia, Pakistan (41), India (33), Indonesia (12), Nepal (4) dan Thailand (1).
“Kesalahan tertinggi dikesan adalah tinggal lebih masa, pasport tamat tempoh dan tiada dokumen perjalanan yang sah,” kata kenyataan Facebook rasmi, Jabatan Imigresen, hari ini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh mengetuai serbuan yang dijalankan selepas risikan dan aduan orang awam mengenai kebanjiran warga asing di kawasan itu.
Dalam serbuan itu, seramai 3,016 warga asing diperiksa.
Operasi dengan kekuatan 338 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen dari Putrajaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Kesemua warga asing ditahan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih, Selangor, untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. – TVS