KUALA LUMPUR, 20 Okt: Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli memohon agar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebuyau akan dimasukkan dalam senarai untuk dibina baharu oleh Kementerian Pendidikan.
Menurutnya, perkara tersebut penting bagi memastikan infrastruktur asas di sekolah berkenaan dalam keadaan kondusif dan selamat untuk pelajar dan warga pendidik.
“(Bangunan) SMK Sebuyau ini yang telah ditubuhkan sejak 1975 berada dalam keadaan yang terlalu daif dan tidak lagi selamat untuk diduduki. Para pelajar dan guru terpaksa menggunakan bilik kelas dalam keadaan yang tidak selesa.
“Bagaimana kita hendak mengangkat martabat pendidikan negara seandainya tempat untuk anak-anak kita menuntut ilmu pun berada dalam keadaan yang sedemikian rupa,” katanya kepada TVS baru-baru ini.
Semasa perbahasan di Dewan Rakyat, Shafizan memaklumkan keadaan infrastruktur yang kurang baik mungkin menjadi faktor ramai guru menolak berkhidmat di kawasan pedalaman di Sarawak.
“Maka tidak hairan kenapa ramai yang memilih untuk menolak tawaran berkhidmat ke Sarawak terutama di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalamanan.
“Sudahlah terpaksa berkhidmat jauh dari bandar, ada yang berjauhan dari keluarga dan anak-anak, tempat tinggal pula tidak selesa.
“Saya berharap agar Kementerian Pendidikan dan Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, dapat meneliti isu kuarters guru di kawasan luar bandar ini demi menghargai pengorbanan mereka yang terpaksa berkhidmat jauh di sekolah luar bandar dan pedalaman Sabah dan Sarawak,” katanya. – TVS