KUCHING, 20 Okt: Anugerah Carta Lagu Bidayuh (ACLB) Edisi Ke-9 dan Anugerah Carta Sapa Juara (ACSJ) Edisi ke-7 bakal kembali pada 27 dan 28 Oktober 2023 ini.
Ketua Penolong Pengarah Seksyen Kejuruteraan TV Jabatan Penyiaran Kawasan Sarawak, Azmi Ahmad berkata seramai 10 finalis bakal berentap pada malam ACLB Edisi Ke-9.
“Majlis akan dirasmikan Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem merangkap Penaung Utama ACLB Edisi Ke-9.
“ACLB Edisi Ke-9 akan diadakan pada 27 Oktober 2023 (Jumaat) bermula jam 8.00 malam yang bertempat di pekarangan parkir kereta, Gate C, RTM Kuching,” katanya ketika mewakili Pengarah Penyiaran Sarawak, Wan Azhan Wan Hamat pada sidang media Anugerah Carta Lagu Radio RTM Sarawak di sini, hari ini.
Azmi mendedahkan juara ACLB Edisi Ke-9 akan membawa pulang wang tunai RM5,000 beserta trofi, diikuti naib juara mendapat wang tunai RM3,000 beserta trofi, tempat ketiga RM2,000 beserta trofi, vokal terbaik bakal memperoleh RM1,000 beserta trofi, lagu paling popular memperoleh RM1,000 beserta trofi dan hadiah sagu hati RM1,000 beserta trofi.
Sementara itu, ACSJ Edisi ke-7 menurut Azmi bakal disempurnakan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas untuk menyaksikan seramai 12 finalis bakal beraksi untuk merebut kejuaraan.
Juara ACSJ Edisi ke-7 pula kata Azmi akan membawa pulang wang tunai RM10,000 beserta trofi, diikuti naib juara mendapat wang tunai RM8,000 beserta trofi, tempat ketiga RM5,000 beserta trofi, vokal terbaik bakal memperoleh RM1,000 beserta trofi, lirik terbaik memperoleh RM500 beserta trofi dan hadiah sagu hati RM2,000 beserta trofi untuk solo manakala hadiah sagu hati berkumpulan RM5,000 berserta trofi.
Azmi berkata, kedua-dua acara adalah masuk percuma selain malam kemuncak ACLB Edisi Ke-9 dan ACSJ Edisi Ke-7 dapat ditonton dan diikuti menerusi saluran Facebook rasmi WAIfm Bidayuh dan WAIfm Iban, RTM Klik dan melalui saluran radio masing-masing.
Di samping itu, Karnival Jualan juga akan diadakan bermula 26 hingga 28 Oktober 2023 dengan membawakan 30 vendor dengan pelbagai jualan bakal terlibat.
Turut hadir, Pengurus WAIfm, Monica Midi dan Penerbit ACLB Edisi Ke-9, George Martin Howell. – TVS