KHAN YUNIS, 20 Okt: Sekurang-kurangnya 21 orang awam Palestin, termasuk kanak-kanak, terkorban hari ini dalam siri serangan udara Israel ke atas Khan Yunis di selatan Bandar Gaza, menurut laporan Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Pesawat pejuang Israel menyasarkan enam rumah kediaman secara serentak di Khan Yunis, mengakibatkan kehilangan nyawa yang tragis dan mencederakan 79 yang lain, majoriti dalam kalangan wanita dan kanak-kanak.
Mereka yang cedera dihantar ke Hospital Nasser di Khan Yunis untuk rawatan perubatan.
Lapan daripada yang terbunuh adalah tergolong dalam kalangan satu keluarga.
Menurut laporan itu, tentera pendudukan Israel mengebom bandar Gaza, dengan tumpuan di kawasan kejiranan Zaytoun dan Shujaeya.
Serangan tanpa henti ini mengakibatkan beberapa rumah musnah.
Sekurang-kurangnya 3,785 orang telah kehilangan nyawa mereka di Semenanjung Gaza sejak permulaan pencerobohan Israel pada 7 Okt, dengan lebih 12,000 individu mengalami kecederaan, menurut maklumat terkini Kementerian Kesihatan. – TVS