JEPAK, 19 Okt: Ketika calon sibuk mempersiapkan strategi berbaki kurang daripada 48 jam sebelum kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak membuka gelanggangnya, di sisi pengundi pula rata-rata daripada mereka secara terbuka sudah mula menyatakan harapan dan permintaan kepada wakil rakyat yang terpilih kelak.
Aspek pembangunan pertanian dan infrastruktur pendidikan di Jepak merupakan antara permintaan yang dimahukan penduduk di kawasan pinggir bandar ini dalam menentukan calon manakah yang akan diberikan mandat untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip.
Pengusaha gerai makanan, Suraji Ali, 48 yang merupakan anak watan Jepak mengharapkan wakil rakyat baharu untuk memperluaskan kawasan pertanian di Jepak bagi meningkatkan ekonomi rakyat di kawasan ini dan pada masa sama memastikan keterjaminan makanan.
“Di Jepak banyak yang perlu ditambah baik terutama sekali dalam sektor pembangunan pertanian, bagi kita yang utama di sini adalah pertanian.
“Seperti kami yang bekerja sendiri ini memandang serius berkenaan dengan pertanian kerana di sini hanya tiga kawasan sahaja yang melibatkan pertanian.
“Jepak memerlukan hasil tani yang lebih banyak kerana di sini hanya tanaman kelapa sawit dan sayur-sayuran sahaja yang diusahakan oleh penduduk tempatan,” katanya kepada TVS di gerai miliknya di Kampung Jepak, di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi Redzuan Nahar, 67, pula, beliau mengharapkan tumpuan diberikan kepada pembangunan infrastruktur pendidikan di Jepak dan pada masa sama pemberian bantuan kepada peniaga-peniaga kecil di kawasan ini.
“Di sini kami mahukan kemajuan dari segi pendidikan dan ekonomi kerana selepas COVID-19, kita perlukan kemajuan untuk kehidupan kita sendiri.
“Tetapi paling penting ialah berkaitan pendidikan bagi kawasan Jepak kerana zaman sekarang ini, jika tiada pendidikan, susah nak maju,” katanya.
Manakala bagi Syahmie Zul Haqimie, 18, beliau berharap infrastruktur sukan seperti padang bola sepak dapat diperbanyakkan lagi bagi kegunaan riadah dan penganjuran aktiviti sukan.
“Bagi saya, perlu tumpukan kepada pembangunan infrastruktur sukan sebab melalui itu, nama Jepak ini dapat diangkat lagi,” ujarnya.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.
Allahyarham Talib menyandang kerusi itu selama enam penggal dan kali terakhir mempertahankannya pada 2021 dengan majoriti 4,243 undi.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mempertaruhkan Iskandar Turkee sebagai calon. Hari penamaan calon akan diadakan pada 22 Oktober, manakala 4 November hari mengundi. – TVS