Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil. Foto: Faitullah Morni (TVS)

Pembangunan kapasiti, penyelarasan, lebih baik dapat pacu usaha pendigitalan – Fahmi

ByBernama

DUBAI, 19 Okt: Aspek pembangunan kapasiti dan penyelarasan lebih baik diperlukan dalam usaha kerajaan mengutamakan penerimagunaan pendigitalan, seiring dengan matlamat Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Sehubungan itu, beliau berkata semua kementerian dan agensi perlu mengenal pasti kaedah bagi membantu proses pendigitalan dan meningkatkan operasi masing-masing.

Malah, katanya, kehadiran beliau pada acara Pameran Teknologi Maklumat Teluk (GITEX) Global 2023 dan Expand North Star (ENS) di sini, turut memberi pendedahan serta pembelajaran yang boleh diterjemahkan dalam usaha meningkatkan operasi kementerian dan agensi.

“Saya percaya ini dapat membantu proses pendigitalan dan menjadikan operasi atau pelaksanaan kerja berkaitan secara berkesan, lancar dan pantas yang memberi manfaat kepada Malaysia serta rakyat,” katanya kepada Bernama pada akhir lawatan beliau di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Fahmi berkata usaha sedemikian juga penting selaras dengan langkah kerajaan untuk memulakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) serta pembentangan Akta Omnibus (bagi membolehkan perkongsian data antara semua agensi kerajaan menerusi PADU) di Dewan Rakyat pada tahun depan.

Beliau turut menyarankan agar semua kementerian mempunyai seorang pegawai yang khusus dalam penekanan pendigitalan demi kelancaran proses dan protokol di peringkat kementerian dan agensi.

Dalam pada itu, kunjungan ke Emirah Arab Bersatu (UAE) itu adalah lawatan kerja pertama beliau sejak menyandang jawatan berkenaan pada Disember tahun lepas.

Menurutnya, pemimpin Malaysia yang telah mengunjungi UAE sejak beberapa minggu lepas adalah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

“Saya berharap ini membuktikan persahabatan serta hubungan akrab kedua-dua negara yang terus berkembang dan semakin kukuh.

“Saya juga melihat wujudnya banyak potensi yang boleh kita bangunkan bersama selain berkongsi pembelajaran dan pengalaman, sebagai contoh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan pihak setaranya di UAE iaitu Pihak Berkuasa Kawal Selia Telekomunikasi dan Digital Kerajaan (TDRA).

“Ada di antara kerjasama ini dapat membantu Malaysia dalam jangka panjang,” katanya.

Terdahulu, Fahmi mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah TDRA, Majed Sultan Al Mesmar bagi membincangkan potensi kerjasama antara Kementerian Komunikasi dan Digital serta TDRA.

“Saya juga melihat banyak perbincangan positif dengan lebih daripada 30 syarikat pada GITEX Global selain pelaburan masuk yang amat penting. Oleh itu, saya amat berpuas hati dengan hasil lawatan ini,” katanya.

Acara GITEX Global yang juga edisi ke-43 penganjurannya, telah diadakan di Dubai World Trade Centre pada 16-20 Okt dan disertai lebih daripada 6,000 syarikat dari 170 negara manakala ENS berlangsung pada 15-18 Okt di Dubai Harbour. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan