KUCHING, 19 Okt: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan yang industri sentiasa bersedia untuk menggaji graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kebolehpasaran graduan TVET kini mencecah 98.5 peratus.
Lebih 90 peratus graduan TVET diterima bekerja – TPM Ahmad Zahid
Ahmad Zahid menjelaskan, penyediaan kursus berkenaan oleh kerajaan ketika ini adalah berdasarkan kehendak industri.
“Semestinya industri menerima graduan TVET kerana mereka mahu (kerajaan) sediakan kursus itu.
” (Saya juga ingin berkongsi sebanyak) 1.5 peratus graduan TVET yang tidak masuk ke pasaran kerja bukan kerana tercicir sebaliknya melanjutkan pelajaran dan sertai program Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW),” katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika menjadi tetamu program Dialog TVS yang disiarkan malam ini di saluran 122.
Berkongsi lebih lanjut mengenai TVET, Ahmad Zahid berkata, ketika ini industri berkenaan wujud di 12 kementerian.
“Jumlah (hanya) 6.6 peratus yang tidak masuk ke pasaran. Ini bermakna masalah pengangguran dalam kalangan lulusan TVET rendah berbanding graduan akademik,” katanya.
Ahmad Zahid berkata peningkatan membabitkan kebolehpasaran graduan TVET juga menunjukkan pelajar luar bandar tidak mempunyai jurang besar berbanding pelajar di bandar dalam bidang pekerjaan.
TVET katanya lagi merupakan platform baharu yang memberikan latihan jangka pendek dan panjang di peringkat pensijilan, diploma serta ijazah.
Dalam pada itu Ahmad Zahid berkata kementeriannya telah mengarahkan agensi berkaitan untuk melaksanakan program pendidikan serta TVET berimpak tinggi secara besar-besaran. -TVS