KUALA LUMPUR, 19 Okt: Isu ketiadaan asrama disediakan Politeknik Metro bagi menampung keperluan pelajar luar kawasan mendapat perhatian Kementerian Pengajian Tinggi di Dewan Rakyat, hari ini.
Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata perkara berkenaan akan dikaji dan diperhalusi keperluannya.
“Saya juga akan mengangkat cadangan Ahli Parlimen Betong (Dr Richard Rapu) iaitu menaik taraf Politeknik Metro Betong kepada Politeknik Konvensional untuk perhatian pihak kementerian,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Richard mengenai langkah dan usaha kementerian membantu Politeknik Metro di luar bandar yang tidak ada menyediakan asrama untuk para pelajar.
Menjelaskan lanjut, beliau berkata penubuhan Politeknik Metro pada asalnya adalah untuk menampung keperluan pendidikan daripada kalangan penduduk tempatan atau pelajar harian berdekatan.
“Bagaimanapun, inisiatif yang telah diambil oleh Politeknik Metro sebelum pendaftaran pelajar adalah dengan Bahagian Hal Ehwal Pelajar mengumpul maklumat pengusaha rumah sewa di kawasan sekitar dan maklumat ini akan diberikan kepada pelajar yang memerlukan penginapan,” katanya.
Menurut Dr Richard, perkara tersebut dibangkitkan berikutan pada sesi pengambilan pelajar ke Politeknik Metro sesi 2024, sebanyak 292 pelajar ditawarkan tetapi hanya 77 sahaja yang menerima atasa faktor ketiadaan tempat penginapan. – TVS