KUALA LUMPUR, 19 Okt: Pengapungan harga telur dan ayam perlulah dibuat pada kadar yang munasabah bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pengguna, penternak dan pembekal.
Presiden Gabungan Persatuan Peniaga dan Penjaja Malaysia Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata ia harus dibuat secara teliti dan perlu dipantau agar tiada pihak yang cuba mengambil kesempatan, selain bagi memastikan bekalan domestik keperluan itu mencukupi.
“Nak apungkan harga boleh tetapi harga siling janganlah terlalu tinggi.. seperti satu ketika, harga ayam pernah diapungkan sampai RM6 lebih tetapi selepas itu, kita ‘burst the price’ (turunkan harga) sebab kekurangan bekalan ayam.
“Jadi kalau nak diapungkan lagi kali ini, kita kena lihat semua sudut sama ada ia menguntungkan semua atau satu pihak sahaja,” katanya kepada Bernama.
Mengulas lanjut, Rosli berkata langkah itu juga harus konsisten bagi membantu peniaga mengawal harga produk mereka yang dijual kepada masyarakat.
“Jangan sekejap apung, selepas itu tarik balik (pengapungan) kerana masyarakat akan berasa tidak selesa dengan situasi harga barangan yang naik turun akibat pengapungan,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengesyorkan agar kerajaan mengadakan sesi dialog dengan persatuan-persatuan penternak tempatan terlebih dahulu bagi mendapatkan persetujuan harga apungan yang munasabah dan adil kepada semua, sebelum meneruskan langkah itu.
Beliau berkata pandangan penternak harus diambil kira kerana mereka juga terbeban dengan kos ternakan yang tinggi akibat kenaikan harga makanan ayam.
“Kita tidak mahu kerajaan membuat keputusan (harga apungan) tanpa merujuk kepada penternak-penternak sebab ayam ini memerlukan makanan dan semua makanan ayam ini pula mahal kerana diimport, jadi kita harus bersikap adil kepada mereka,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Shah Alam-Klang, Kamarulnizam Razak berkata langkah mengapungkan sumber protein itu lebih baik kerana sekurang-kurangnya menjamin bekalan yang berterusan daripada pihak pengeluar.
“Kalau tak diapungkan, barang sentiasa tiada stok dan susah berniaga. Jadi walaupun mungkin ada kenaikan sikit harga bekalan selepas diapungkan, saya rasa ia masih boleh diterima ramai asalkan bekalannya tidak terjejas secara keseluruhan di pasaran,” katanya yang sudah meniaga lebih 20 tahun di pasar malam sekitar Klang dan Shah Alam.
Pada pembentangan Belanjawan 2024, Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan menimbang untuk mengapungkan harga telur dan ayam tidak lama lagi selepas mendapati trend semasa menunjukkan bekalan kedua-dua sumber makanan itu kini stabil.
Beliau berkata pelaksanaan tersebut membolehkan pasaran tempatan dapat berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan ayam dan telur di pasaran, dan perincian mengenai langkah itu akan diumumkan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam dua minggu, selepas berunding dengan pihak pengeluar.
Anwar berkata langkah juga dilakukan bagi memastikan manfaat subsidi yang diberikan sebelum ini hanya dinikmati rakyat yang berhak, bukannya warga asing dan golongan kaya memandangkan sejak 2022, kerajaan telah mengeluarkan subsidi keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion bagi menampung kos ayam dan telur. – TVS