BATU NIAH, 19 Okt: Dua lelaki warga asing ditemukan maut dalam kebakaran bilik kontena di ladang sawit berhampiran Kampung Telong, Jalan Pesisir Pantai Miri-Bintulu di sini, awal pagi tadi.
Kedua – dua mangsa warga Indonesia berusia 30 dan 35 tahun itu dipercayai terperangkap dan sesak nafas semasa kejadian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi (PBT II) Rary Binjie berkata, sepasukan sembilan anggotanya dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan pada 5.55 pagi.
“Setibanya di situ, anggota mendapati kebakaran sudah terkawal dan mereka memadamkan sisa kebakaran.
“Dua mangsa itu meninggal dunia dalam bilik kontena di tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Katanya, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) kemudian mengeluarkan mayat selepas api padam sepenuhnya pada 6.40 pagi.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada 8.30 pagi,” tambahnya. -TVS