KUALA LUMPUR, 19 Okt: Bintang bola sepak Mesir dan Liverpool, Mohamed Salah menyeru agar pembunuhan beramai-ramai di Gaza dihentikan serta bantuan kemanusiaan dibenarkan segera masuk ke wilayah Palestin yang dikepung.
“Bukan mudah untuk bercakap dalam masa seperti ini. Berlaku terlalu banyak keganasan, kesedihan dan kekejaman. Peningkatan (serangan) dalam beberapa minggu kebelakangan ini amat berat untuk disaksikan.
“Semua nyawa adalah suci dan mesti dilindungi,” katanya dalam video yang disaksikan 62.7 juta pengikut di Instagram, 18.6 juta di Twitter dan 16 juta lagi di Facebook.
Ini ialah kenyataan pertama Salah mengenai keadaan di Gaza yang semakin meruncing, serentak dengan kemarahan dunia yang semakin membuak selepas kematian hampir 500 orang awam dalam insiden pengeboman Hospital Arab al-Ahli di Bandar Gaza.
“Pembunuhan beramai-ramai perlu dihentikan, keluarga sedang berpecah belah. Apa yang jelas sekarang, bantuan kemanusiaan ke Gaza mesti dibenarkan serta merta. Penduduk di sana berada dalam keadaan yang teruk. Keadaan di hospital malam tadi amat mengerikan. Penduduk Gaza memerlukan makanan, air dan bantuan perubatan segera,” katanya lagi.
“Saya menyeru pemimpin dunia untuk bersama-sama menghalang pembunuhan lebih banyak jiwa yang tidak bersalah – kemanusiaan mesti ditegakkan,” katanya.
Salah, 31, antara atlet paling popular di dunia Arab sebelum ini dikritik lebih-lebih lagi oleh negara asalnya Mesir, kerana berdiam diri mengenai isu itu selama lebih seminggu.
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sehingga Rabu bilangan kematian di Semenanjung Gaza akibat serangan udara dan serbuan Israel sejak 7 Okt telah meningkat kepada kira-kira 3,478 dengan lebih daripada 12,000 kecederaan. Sebanyak 70 peratus daripada mangsa adalah kanak-kanak, wanita, dan warga emas. -TVS