Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Anggota APM Sarawak menjalani Latihan Persiapan MTL di Kampung Rantau Panjang, Kuching, hari ini. Foto: TVS

APM sedia hadapi kemungkinan banjir ketika Monsun Timur Laut

KUCHING, 19 Okt: Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sarawak mula menjalani beberapa latihan seperti pengendalian bot dan pengurusan bencana sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL).

Pengarah Pertahanan Awam Negeri Sarawak Mohtar Samat berkata latihan tersebut dilakukan secara serentak di 22 pejabat daerah di seluruh Sarawak dengan penglibatan seramai 400 orang anggota.

Latihan yang berlangsung hari ini adalah untuk memastikan semua bot boleh diguna pakai dan bagi mengenal pasti sebarang kelemahan yang ada di samping memberi persiapan mental kepada anggota bertugas kelak.

“Latihan tentang kesediaan menghadapi banjir ini dilakukan secara serentak untuk kita memastikan persediaan pegawai ataupun anggota di lapangan sekali gus memastikan logistik khususnya enjin bot kita bersedia.

“Penggunaan beberapa bot lama atau baharu pada hari ini adalah untuk kita mengenal pasti beberapa kelemahan bot tersebut.

“Kita juga memberikan persiapan mental kepada anggota bawahan agar mereka memberi respon yang baik, cepat dan tepat jika berlakunya sesuatu bencana banjir khususnya di Sarawak pada kali ini,” katanya ditemui selepas sesi Latihan Persiapan MTL 2023/2024 APM Sarawak di Kampung Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Jelas Mohtar, Sarawak mempunyai 2,666 orang anggota bersiap sedia berdepan MTL kali ini sekali gus ada penambahan bot dan kenderaan logistik.

“Untuk Sarawak, kita ada 2,666 orang anggota bersiap sedia untuk banjir kali ini dan ada penambahan bot serta kenderaan logistik.

“Termasuk penambahan lapan ambulans pacuan empat roda yang menjadikan kita ada 16 logistik ambulans. Kita ada 116 bot di seluruh Sarawak terdiri daripada pelbagai jenis dan saiz untuk kita gerakkan dan boleh diguna pakai,” katanya.

Mengulas lanjut, pihaknya telah meletakkan bot di peringkat komuniti khususnya di kawasan kebiasaannya berlaku banjir atau ‘hotspot’ banjir seperti di Selangau dan Marudi sebagai persediaan awal.

Di samping itu, beliau menjelaskan persediaan ini dilakukan untuk mengaktifkan masyarakat kampung bersiap sedia awal bagi mengelakkan berlakunya perpindahan.

Beliau berharap tidak berlakunya isu terpinggir dan akan memberi perkhidmatan tanpa mengira ideologi politik. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan