KUALA LUMPUR, 18 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) disaran agar menubuhkan pasukan sukarela ‘First Aider’ di setiap kampung khususnya di kawasan luar bandar, kata Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin.
Menurutnya, pasukan ‘First Aider’ itu akan bertindak sebagai pasukan awal sekiranya berlaku kecemasan yang memerlukan bantuan perubatan segera.
“Pasukan ini perlu dilatih dengan teknik First Aid, Cardiopulmonary Resuscitation (CPR) dan Automated External Defibrillator (AED) untuk menyelamatkan nyawa.
“Hal ini demikian kerana, penduduk di pedalaman terpaksa menunggu dalam tempoh yang agak lama sehingga pasukan berkaitan datang memberikan bantuan perubatan sekiranya berlaku kes kecemasan,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui TVS hari ini.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Dan Komoditi I itu turut mengemukakan pertanyaan berhubung status terkini cadangan pembinaan Hospital Puncak Borneo untuk menggantikan Hospital Rajah Charles Brooke Memorial yang sesak dan kurang kondusif.
Manakala dalam perkembangan lain, Willie juga menyambut baik hasrat kerajaan untuk mewujudkan Jaringan Kereta Api Borneo (Trans Borneo Railway) yang diilhamkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Cadangan Jaringan Kereta Api Borneo (Trans Borneo Railway) cetusan Premier Sarawak Abang Jo perlu diberi pertimbangan sewajarnya kerana ini boleh menjadi pemangkin ekonomi di Sabah dan Sarawak.
“Malah akan merancakkan pembangunan di Wilayah Borneo. Trans Borneo Railway jika direalisasikan bakal menjadi jaringan rel yang memacu pertumbuhan ekonomi Sarawak dan bakal menjadi tunjang pengangkutan barangan dan penumpang di Borneo di samping mewujudkan “Consolidation Hub” di sepanjang Trans Borneo,” katanya lagi.
Ujarnya, jaringan kereta api yang baharu itu akan menghubungkan pusat ekonomi, pelabuhan serta lapangan terbang di Sarawak seterusnya merealisasikan hasrat Sarawak ke arah Sarawak Maju Makmur.-TVS