KUALA LUMPUR, 18 Okt: Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin meluahkan kekecewaan berikutan tiada peruntukan untuk tujuan penyukatan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) di Sarawak dalam Belanjawan 2024.
Beliau berpendapat bahawa kerajaan seolah-olah tidak mengambil berat berhubung isu terbabit meskipun ia telah berlarutan sekian lama.
“Kerajaan sebelum ini ada memperuntukkan dana, tetapi (kali ini) peruntukan ini langsung tidak ada dalam Belanjawan 2024 yang kononnya bersifat adil dan ingin melihat Malaysia Maju makmur.
“Oleh itu, saya mohon supaya Kerajaan Perpaduan memperuntukkan dana khas penyukatan tanah NCR ini ke setiap kawasan parlimen di Sarawa,” katanya ketika sesi perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Negara hari ini.
Antara perkara lain yang turut dibangkitkan oleh Willie adalah keselamatan di sepanjang sempadan Sarawak–Kalimantan.
Menurutnya Kerajaan Persekutuan perlu memberi tumpuan supaya pos kawalan sempadan perlu dibina lebih banyak dan kerahan anggota-anggota keselamatan perlu diletakkan pada tahap yang optimum dari segi kesiapsiagaan.
“Aset-Aset penting Sarawak seperti Empangan Bakun, Murum, Batang Ai, Empangan Sumber Air Bengoh yang telah beroperasi dan Empangan Baleh yang sedang dalam pembinaan memerlukan perhatian khusus dari sudut keselamatan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, beliau turut meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk menerbitkan data atau senarai penjawat awam berdasarkan bangsa, kedudukan pangkat dan negeri untuk maklumat umum agar tidak wujud diskriminasi dalam perlantikan penjawat awam.-TVS