Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg (dua dari kiri) menyerahkan watikah perlantikkan calon GPS kepada Iskandar Turkee (dua dari kanan) di sini hari ini. Foto Muqri Aziz (TVS).

PRK DUN Jepak: Pengarah AADK Sarawak diumum calon GPS

ByHafeezzur Muzamir

BINTULU, 18 Okt: Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Iskandar Turkee sebagai calon gabungan itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Majlis pengumuman oleh Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berlangsung di sebuah hotel di sini sebentar tadi.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak berkata, pemilihan Iskandar dibuat selepas beliau ‘lulus’ saringan membabitkan beberapa calon yang dikemukakan oleh Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Kita telah meneliti orang yang boleh menyambung tugas mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), (dalam) PBB banyak orang berpotensi, sudah tentu kita pilih seorang sahaja.

” (Bagi ) yang tidak terpilih, bersama-sama membantu (jentera kempen parti),” katanya pada majlis pengumuman itu hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Wanita PBB, Dato Sri Fatimah Abdullah dan Naib Presiden Kanan, Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dat0 Sri John Sikie Tayai.

Mengulas mengenai pemilihan Iskandar, 54, Abang Johari berkata, saringan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan beliau memiliki rekod yang baik.

“Hari ini saya sukacita mengumumkan calon daripada PBB yang mewakili GPS iaitu Iskandar Turkee yang merupakan Pengarah AADK Sarawak, sekarang ini (beliau) sudah letak jawatan,” katanya.

Iskandar berkelulusan Sarjana Pembangunan Sumber Manusia daripada Universiti Putra Malaysia dan merupakan Ahli Panel Majlis Sosial Sarawak; Majlis Perpaduan Sarawak; Ahli Jawatankuasa Induk One Stop Committee Menangani Isu Dadah Sarawak dan Ahli Jawatankuasa Induk PEMADAM Sarawak.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini manakala pengundian awal dan hari mengundi masing-masing pada 31 Oktober dan 4 November.

PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

Allahyarham Talib menyandang kerusi itu selama enam penggal dan kali terakhir mempertahankannya 2021 dengan majoriti 4,243 undi. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan