KUALA LUMPUR, 18 Okt: Muslim Care Malaysia (MCM) menyalurkan bantuan fasa ketiga sebanyak RM412,000 khusus untuk bantuan perubatan termasuk pembelian ambulans kepada rakyat Palestin susulan perang terkini dengan Israel yang mula tercetus pada 7 Okt lepas.
Setiausaha Agung MCM Ahmad Safuan Ujar dalam kenyataan hari ini memaklumkan setakat ini MCM sudah menyalurkan dana sebanyak RM787,000 untuk membantu rakyat Palestin.
“Fasa pertama membabitkan dana segera sebanyak RM100,000 dihantar pada hari ketiga perang kepada Pengerusi MCM Palestin Ahmad Abu Ayesh di Gaza dan bantuan kedua sebanyak RM275,000 menyusul kira-kira seminggu kemudian.
“NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang berkolaborasi dengan MCM untuk sumbangan fasa ketiga ini ialah Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Iman Care, Perdana Global Peace Foundation dan Pertubuhan Khidmat Umah yang dipimpin pendakwah terkenal Ustaz Wadi Anuar,” katanya.
Ahmad Safuan berkata beliau dan Exco Media MCM Tuan Asri Tuan Hussein berlepas ke Kaherah, Mesir hari ini dalam usaha memastikan bantuan kepada rakyat Palestin berjaya sampai kepada kelompok sasaran dalam masa terdekat.
Beliau berkata di Kaherah pihaknya akan bekerjasama dengan sebuah gerakan kemanusiaan antarabangsa, Miles of Smiles, yang berpejabat di London dan diketuai seorang rakyat Palestin yang tinggal di sana Dr Essam Mustafe.
“MCM sudah beberapa kali bekerjasama dengan Dr Essam yang memfokuskan penyampaian bantuan berkaitan perubatan kepada rakyat Palestin. Segala bantuan akan digerakkan ke Gaza secepat mungkin apabila pintu sempadan Mesir-Gaza di Rafah dibuka dan keadaan mengizinkan,” katanya.
Ahmad Safuan menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia, agensi kerajaan dan swasta serta beberapa NGO yang memberi kepercayaan dan menjalin kerjasama dengan MCM untuk menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin. -TVS