PADAWAN, 18 Okt: Empat belas premis makanan (kedai kopi dan teh) diberikan sijil penghargaan Kempen dan Pertandingan Premis Makanan Bersih anjuran Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
Pengerusi MPP Tan Kai berkata daripada jumlah itu, lima premis dipilih daripada 185 premis makanan yang berjaya mengekalkan Gred A untuk dua tahun berturut-turut dari 2021 hingga 2022.
Lima premis berkenaan ialah Ping Delights, Serapi Corner, Simple Up Cafe, David Axei Cafe dan Yii Kee Chicken Rice.
Bagi kategori premis Gred B, sembilan daripada 187 premis menerima penghargaan yang sama.
Kedai-kedai tersebut ialah Man Ziang Lou Delight Cafe, Yong Xing Place, Bombay Spice, Gold Cow Cafe, Firna Cafe, One Thousand One Hundred And One Cafe, Hong Kong Street, Asyiq Cafe dan P.X Corner.
Antara kriteria pemarkahan ialah kawasan penyediaan makanan dan minuman, kebersihan dan kemudahan tandas, kawasan hidangan, kebersihan diri dan keperluan pelesenan dan kesihatan.
Tan Kai pada majlis penyampaian sijil penghargaan di sini, hari ini berkata, program terbabit merupakan sebahagian daripada usaha MPP dalam memupuk nilai kebersihan terutamanya melibatkan aspek penyediaan makanan.
“Pertandingan ini juga menjadi pendekatan proaktif MPP untuk mendekati pengusaha kedai kopi dan teh agar sentiasa menjaga kebersihan premis masing-masing.
“Dengan pelaksanaan program ini, objektif pihak majlis dalam memastikan semua premis makanan di bawah kawasan MPP sentiasa mengekalkan tahap kebersihan dan keselamatan makanan dapat dicapai,” katanya. – TVS