Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh manakala lebih 70 lagi cedera pada Sabtu dalam serangan udara Israel yang mensasarkan Sekolah Al-Fakhoura di kem pelarian Jabalia di Gaza. Foto AFP.

Kehidupan amat sengsara, menurut aktivis Palestin

ByBernama

JOHOR BAHRU, 18 Okt: “Kehidupan kami ketika ini amat sengsara, sukar untuk digambarkan dengan kata-kata,” demikian menurut aktivis Palestin, Abeer Z Barakat ketika diminta menceritakan keadaan hidup seharian rakyat Palestin termasuk dirinya selepas 12 hari serangan udara berterusan rejim Zionis di Semenanjung Gaza.

Berkongsi keperitan yang dihadapi, ibu kepada empat anak itu berkata beliau bersama beberapa ahli keluarga yang lain kini menumpang di rumah saudara selepas rumahnya musnah, dengan berkongsi apa sahaja bekalan makanan yang masih tinggal dan tanpa bekalan elektrik sejak beberapa hari lepas.

Meskipun berita buruk dan pembunuhan beramai-ramai berlaku depan mata setiap hari, Abeer tidak goyah dan dengan tegas menyatakan bahawa beliau tidak takut mati, malah ketiadaan bekalan air dan makanan perkara terakhir yang ada dalam fikirannya sekarang.

“Pada dasarnya, kami tidak takut dengan kematian sendiri. Saya bercakap bagi diri sendiri dan saya yakin setiap rakyat Palestin bersetuju dengan saya, (cuma yang) kami bimbangkan kehilangan orang yang kami sayang. Saya sudah kehilangan rumah, jadi saya harap saya tidak akan kehilangan mana-mana ahli keluarga.

“Saya berdoa setiap malam dan setiap hari, pada setiap solat, kami doakan mereka dilindungi dan kami memohon kepada Allah SWT memberikan kami kesabaran bagi membolehkan kami mengharungi tempoh yang sukar ini, untuk kami terus kekal berada di tanah air kami, terutama ketika kami berada di bumi suci ini. Insya-Allah, Allah akan beri kami kesabaran dan lindungi bumi ini,” katanya kepada Bernama melalui pesanan suara di WhatsApp malam tadi.

Abeer juga berkongsi tentang bagaimana rumah yang runtuh menimpa penghuninya akibat serangan udara dan bagaimana berita mengenai seorang lagi aktivis Palestin, Dr Shaima Abu Shaaban, yang kehilangan tiga anak yang masih kecil, ibu bapa dan adik-beradiknya dalam serangan udara, turut membuatkan hatinya luluh.

“Semalam (Isnin), saya dengar berita mengenai rakan saya, Dr Shaima Abu Shaaban, seorang ahli psikologi yang juga pensyarah. Beliau sedang menjalankan projek sokongan psikologi selama enam bulan untuk wanita dan kanak-kanak, dan kami telah bekerjasama selepas serangan di Gaza pada 2021. Projek ini dibiayai oleh Rose2Rose, yang merupakan inisiatif MyCARE untuk pemerkasaan wanita dan kanak-kanak.

“Beliau (Dr Shaima) kehilangan bapa, ibu, tiga anak – dua wanita dan seorang lelaki yang comel, dan kini tinggal beliau bersama seorang lagi anak lelakinya yang masih hidup. Beliau (turut cedera) di dada dan kaki, manakala ahli keluarganya yang lain sama ada cedera atau masih tertimbus di bawah runtuhan. Berita tentang Dr Shaima amat mendukacitakan saya kerana kami sangat rapat, dan sudah tentu kita ada mendengar tentang keluarga yang telah dihapuskan daripada pendaftaran awam,” katanya.

Di sebalik kesengsaraan tersebut, Abeer masih sempat melahirkan rasa terima kasihnya kepada negara dan rakyat Malaysia atas sokongan kuat daripada segenap peringkat kerajaan mahupun rakyat.

“Malaysia sentiasa menyokong kuat rakyat Palestin. Sokongan emosi anda sangat membantu kami. Setiap kali saya terima mesej daripada rakan-rakan Malaysia saya, melihat hantaran yang mereka kongsikan, saya dapat rasa bahawa kami tidak ditinggalkan berseorangan, terutama oleh saudara-saudara Islam kami. Terima kasih banyak atas sokongan anda,” katanya.

Abeer, yang berkelulusan Sarjana Linguistik Gunaan dari Universiti Putra Malaysia, aktif berkongsi pengalamannya berhubung isu Palestin dan telah berada di Malaysia pada Februari lepas.

Lebih 3,000 rakyat Palestin terkorban dengan kira-kira 13,000 lagi cedera sejak serangan rejim Israel pada 7 Okt lepas.

Semalam, Kementerian Kesihatan di Gaza dilaporkan berkata sekurang-kurangnya 500 orang terbunuh dalam serangan udara di Hospital Arab Al-Ahli yang terletak di tengah Gaza. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan