KANOWIT, 17 Okt: Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang sejak Ahad lalu ditemukan lemas di Sungai Kanowit di sini pagi tadi.
Mayat mangsa, Tinggi Melintang, 92, dijumpai pihak polis dan bomba yang menjalankan operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada jam 8.50 pagi.
Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan (DSP) Tega Bilong berkata, mayat mangsa ditemukan terapung tidak jauh dari lokasi mangsa dikatakan terjatuh dari perahu di seberang Rumah Jelani, Nanga Lesih kira-kira 30 kilometer dari sini.
Katanya, pemeriksaan awal mendapati tiada kesan kecederaan ditemukan pada badan mangsa.
“Mayat mangsa berjaya dijumpai kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh dari perahu.
“Hasil pemeriksaan mendapati mayat berpakaian warna putih dan berseluar pendek biru gelap dan masih dalam keadaan sempurna,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tega berkata, mayat telah diserahkan kepada waris mangsa untuk urusan pengkebumian atas permintaan pihak keluarga.
“Operasi yang bermula sejak Isnin disambung pada jam 8 pagi tadi membabitkan anggota Balai Polis Kanowit, BBP Kanowit, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kanowit serta dibantu penduduk rumah panjang,” katanya.
Operasi SAR ditamatkan pada jam 10 pagi
Dalam kejadian pada jam 6.35 petang Ahad lalu, mangsa dipercayai sedang menyeberangi sungai menggunakan perahu dari kebun yang terletak di seberai Rumah Jelani.
Berdasarkan keterangan seorang saksi, kelibat tangan mangsa terjatuh dari perahu dan dilihat terkapai-kapai di dalam air sebelum tenggelam ke dalam sungai. -TVS