KUCHING, 17 Okt: Sarawak perlu diberi keutamaan dalam aspek penempatan guru-guru baharu dalam usaha mengatasi masalah kekurangan guru yang agak serius di negeri itu.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Annuar Rapaee berkata negeri ini mengalami kekurangan lebih 3,000 guru berikutan terdapat guru yang berpencen, atau yang telah berpindah ke negeri lain namun tiada guru gantian.
Menurutnya, pengambilan kira-kira 9,500 guru baharu di seluruh negara pada November ini dilihat satu langkah tepat dalam usaha mengatasi masalah terbabit dan berharap Sarawak menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan dalam menempatkan guru-guru baharu tersebut.
“Kekurangannya banyak di Sarawak, jadi sepatutnya Sarawak diberikan keutamaan dalam penempatan itu dan kalau kita diberi setengah daripada jumlah penempatan itu sudah selesai masalah kekurangan guru itu.
“Namun tidak mungkin kita dapat banyak itu namun kita boleh selesaikan separuh daripada masalah tersebut iaitu penempatan 1,500 guru untuk tahun ini dan selebihnya pada tahun hadapan.
” Apa yang penting, Kementerian Pendidikan mesti tegas dalam hal penempatan guru-guru baharu ini dan tindakkan harus diambil kepada mereka yang ingkar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Antara Hikmah Islamic Technology College Dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Institut Kemahiran Darul Ridzuan di sini hari ini.
Annuar berkata, isu kekurangan guru di Sarawak bukan perkara baharu malah ia sudah berlarutan sekian lama.
Justeru tegas beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia perlu bertegas dalam aspek penempatan guru termasuk mengambil tindakkan tegas kepada mereka yang ingkar arahan penempatan mereka.
Tindakan tegas tersebut ujarnya akan memberikan pengajaran selain dapat mengelakkan masalah sama berlaku di masa hadapan.
Pada masa, pengambilan dan penempatan guru baharu juga harus mengutamakan anak tempatan negeri terlibat agar masalah ingkar arahan atau perpindahan penempatan guru yang kerap dapat dikurangkan. – TVS