KUCHING, 17 Okt: Bukan setakat berjaya keluar dari kelompok B40, malah ada penternak madu kelulut mampu meraih pendapatan RM7,000 sebulan.
Syed Yusof Syed Kechik dari Unit Peneraju Inovasi Sosial dan Pemindahan Ilmu, bagi projek Innovation for Community, Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, pihaknya gembira dengan pencapaian cemerlang para peserta kelolaan TERAJU dan USM.
“Melalui program Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB), TERAJU-USM telah membina enam ladang satelit bagi tujuan penternakan madu kelulut.
“Sepuluh lagi ladang satelit akan dibina pada masa yang terdekat bagi menampung permintaan yang tinggi daripada pasaran, terutamanya pasaran luar negara,” katanya menerusi kenyataan media.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU Junady Nawawi melakukan lawatan kerja ke salah satu tapak projek penternakan madu kelulut yang dijalankan di bawah DPUB di Kampung Belungei, Lundu.
Beliau disambut Syed Yusof Syed Kechik.
Junady juga memohon USM agar terus memperkasakan rantaian bekalan bagi projek ini bagi memastikan peserta-peserta projek akan menerima limpahan ekonomi daripada projek ini secara terus-menerus. – TVS