KUCHING, 17 Okt: Sarawak memerlukan peruntukan yang berterusan dalam usahanya membaik pulih, membina serta menaik taraf semua sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah daif di negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Annuar Rapaee berkata, kurangnya aktiviti penyelenggaraan terhadap setiap bangunan di sekolah-sekolah terlibat dikenal pasti menjadi punca banyak bangunan sekolah menjadi daif.
“Saya ambil contoh, jika sekolah tersebut diklasifikasikan sebagai 45 iaitu sederhana kedaifannya.
“Namun kalau tidak ada peruntukan untuk penyelengaraan, saya pasti dalam masa dua tahun sekolah tersebut akan diklasifikasikan sebagai 67 yang terlalu daif.
“Jadi sebab itu kita perlu ada peruntukan secara berterusan untuk tujuan tersebut (penyelenggaraan) agar dapat mengurangkan sekolah-sekolah yang bakal klasifikasikan sebagai sangat daif,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman(MoU) antara HIKMAH Islamic Technology College dengan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) di sini hari ini.
Beliau berkata, peruntukan berjumlah RM935 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 lalu satu peruntukan yang besar bagi melaksanakan usaha menaik taraf sekolah-sekolah daif.
Namun begitu, peruntukan terbabit perlu dikongsi dengan negeri-negeri lain yang turut sama memerlukan usaha penambahbaikan sekolah di negeri terlibat.
Di Sarawak sahaja terdapat 185 buah sekolah yang telah dikenal pasti memerlukan penambahbaikan agar ia tidak lagi dikategorikan sebagai sekolah daif.
Katanya, kebenaran untuk Sarawak melulus dan melaksanakan projek-projek bernilai RM50 juta perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melaksanakan projek penambahbaikan sekolah-sekolah daif memandangkan projek-projek tersebut kebanyakannya adalah di bawah jumlah tersebut.
Justeru tegasnya, adalah lebih baik setiap peruntukan yang telah diumumkan tersebut disalurkan terus kepada kerajaan negeri agar usaha-usaha menambah baik kemudahan sekolah-sekolah ini dapat dilaksanakan terus.
“Jika dilaksanakan bagi 185 sekolah daif ini dengan satu buah sekolah mungkin sekitar RM30 juta atau kurang daripada jumlah tersebut, maka peruntukan itu seharusnya disalurkan terus kepada kerajaan negeri.
“Ini secara tidak langsung akan mempercepatkan proses pelaksanaannya (menambah baik sekolah daif) mengikut apa yang telah difahami iaitu kelulusan RM50 juta tersebut,” katanya.
Annuar berkata, perlu ada senarai jumlah-jumlah peruntukan yang diperlukan bagi membaiki dan menaik taraf kesemua 185 buah sekolah tersebut.
Ia bagi membolehkan keutamaaan dapat diberikan terus kepada tujuan penambahbaikan sekolah-sekolah tersebut dalam kelulusan peruntukan di bawah RM50 juta terbabit. – TVS