Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto: Lorenzo Isaac (TVS)

Premier Sarawak berhasrat terokai SAF bersama Universiti Teknologi Swinburne Australia, tahun hadapan

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 17 Oktober: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhasrat untuk meneroka peluang kerjasama dalam bidang Bahan Api Penerbangan Mampan (SAF) bersama Universiti Teknologi Swinburne Australia.

Perkara itu menurut beliau akan diusahakan dengan mengadakan lawatan ke universiti berkenaan pada tahun hadapan.

Beliau memberitahu di bawah Dasar Pendidikan Kebangsaan, kursus-kursus berkaitan SAF diakui terhad pada peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) namun Sarawak mempunyai kelebihan menerusi Universiti Teknologi Swinburne Sarawak yang menjalin kerjasama dengan institusi rakan kongsi di Australia.

“Universiti Teknologi Swinburne Australia mempunyai jurusan yang baharu iaitu Aeroangkasa, dan Insya-Allah saya akan melawatnya kerana kami merancang membangunkan bidang SAF.

“Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) juga bakal bekerjasama dengan syarikat pengeluar Airbus. Ini merupakan bidang-bidang baharu di mana Kampus Swinburne di Sarawak boleh bekerjasama dengan Kampus Swinburne di Melbourne dalam bidang SAF serta bahan api alternatif industri penerbangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penganugerahan graduan pada Majlis Graduasi Swinburne yang berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

Setakat ini, beliau mendedahkan Kerajaan Sarawak memerlukan seramai 30 jurutera semikonduktor bagi menyokong Perkhidmatan Global X-FAB dalam meningkatkan keluaran faundri mereka.

“Setakat ini, kita mempunyai sekitar 17 hingga 20 orang, tetapi kita ingin meningkatkannya kepada 50 orang, jadi kita masih memerlukan 30 orang lagi.

“Ramai warga Sarawak telah pulang, termasuk dua orang dari Silicon Valley, dan ada yang bekerja di Singapura. Selain itu, ada yang bekerja di Taiwan, khususnya di TSMC (Taiwan Semiconductor Manufacturing Company).

“Saya telah dimaklumkan bahawa ada satu atau dua orang dari Taiwan telah kembali ke Sarawak,” ujar beliau.

Sehubungan itu, beliau memuji usaha Universiti Swinburne Sarawak susulan inisiatif menawarkan kursus reka bentuk industri di bawah fakulti IT hingga peringkat PhD, yang dipercayai akan membantu melahirkan graduan dalam kepakaran tersebut.

“Teknologi sentiasa berubah. Oleh itu, kita menyedari bahawa dalam industri IT, perkembangan berlaku dengan pantas, dan ini bermakna pakar-pakar dalam bidang ini perlu diwujudkan selaras dengan keperluan industri,” jelas beliau. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan