KUALA LUMPUR, 17 Okt: Pelbagai program dan inisiatif sedang dirancang untuk kanak-kanak yang mengalami gangguan disleksia, terutamanya mereka yang tinggal di luar bandar, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Syukri.
Beliau berkata, antara inisiatif yang dirancang ialah program kesedaran mengenai gangguan disleksia dan mengenal pasti simptom awal gangguan itu dalam kalangan kanak-kanak di luar bandar.
“Masyarakat bandar sedar tentang gangguan ini tetapi masyarakat luar bandar tidak dan jika kita tidak memberi mereka peluang, maka mereka tidak akan tahu sama ada anak mereka mungkin mengalami gangguan disleksia,” katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Kesedaran Disleksia 2023 di sini, hari ini.
Oktober setiap tahun adalah sambutan Bulan Kesedaran Disleksia Sedunia yang bertujuan untuk menyebarkan kesedaran tentang gangguan dalam kalangan masyarakat dan mendapatkan sokongan daripada agensi atau organisasi kerajaan untuk kesejahteraan kanak-kanak disleksia.
Nancy berkata, persatuan atau pertubuhan bukan kerajaan yang berkaitan dengan penjagaan gangguan disleksia digalakkan berkongsi idea dan rancangan mereka untuk menyebarkan kesedaran mengenai gangguan penyakit itu.
Malah, katanya, kementerian akan menjalankan penyelidikan dengan universiti tempatan tahun depan untuk menguruskan modul mengenai gangguan itu bagi pemahaman yang jelas tentang disleksia di Malaysia.
Nancy berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan sebanyak  258,445 orang berdaftar di bawah Kategori Kurang Upaya Pembelajaran sehingga September tahun ini dan daripada jumlah itu, seramai 20,127 orang berdaftar di bawah sub kategori masalah pembelajaran spesifik (Spesific LD) dengan ciri utama ialah disleksia, diskalkulia dan disgrafia.
Justeru, beliau menasihatkan ibu bapa atau ahli keluarga yang mengesyaki anak mereka mengalami simptom gangguan disleksia supaya berjumpa dengan perunding di mana-mana pejabat JKM di kawasan berdekatan rumah mereka untuk bantuan. -TVS