KUCHING, 17 Okt: Mangsa terakhir insiden tiga remaja yang hilang petang semalam setelah dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Batang Lassa berdekatan Nangar di Daro, kira-kira 125 kilometer dari sini, dijumpai pagi tadi.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 3, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, jasad mangsa terakhir yang dikenali sebagai Aldrin Gambang Allan Kiai telah dijumpai dalam jarak 4 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.
Menurutnya penemuan itu sekali gus menamatkan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi ketiga-tiga mangsa terlibat.
“Jasad mangsa pertama telah dibawa ke jeti pagi tadi dan seterusnya telah diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.
“Manakala, mangsa kedua dikenali sebagai Sebastian Oziel Seman Umpi telah dijumpai oleh pasukan penyelamat ketika anggota meneruskan pencarian disepanjang Sungai kira-kira jam 8.30 pagi tadi,” ujarnya menerusi kenyataan media hari ini.
Untuk rekod, dalam kejadian kira-kira 6.30 petang semalam, tiga remaja berusia 13 tahun itu dihanyutkan arus deras ketika sedang mandi di sungai berkenaan. – TVS