Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Datuk Seri Fadillah Yusof menyertai sesi bergambar selepas menyampaikan ucapan perasmian Persidangan Kepintaran Buatan UK- Malaysia di Kuala Lumpur, hari ini. Foto Bernama.

Malaysia jajarkan pendekatannya terhadap tatakelola AI – Fadillah Yusof

ByBernama

KUALA LUMPUR, 17 Okt: Malaysia sedang menjajarkan pendekatannya terhadap tadbir urus kecerdasan buatan (AI) dengan kemunculan model kawal selia teknologi itu seiring dengan peningkatan gesaan untuk tatakelola yang berkesan, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang mengukuhkan asas ekosistem AI meliputi tadbir urus, platform, bakat dan akulturasi.

“Ini termasuk pembangunan garis panduan untuk penggunaan AI yang bertanggungjawab dan satu kod etika serta tadbir urus.

Kebimbangan etika berkenaan AI mendapat perhatian sejagat dan di Malaysia, pertimbangan kerajaan bagi  sebuah kerangka kawal selia untuk AI adalah satu langkah penting ke arah penggunaan teknologi ini  secara beretika,” katanya ketika merasmikan Persidangan Kecerdasan Buatan (AI) UK-MY 2023  (UK-MY AI  2023) yang dianjurkan bersama oleh MOSTI dan Suruhanjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, hari ini.

Fadilah berkata kemunculan AI bukan hanya sebagai “pengacau” tetapi juga penjana peluang pekerjaan baharu yang memerlukan inisiatif pemahiran semula dan peningkatan kemahiran.

Teknologi AI perkasa sektor kesihatan tanpa nafi kepakaran manusia

Sebagai respons, Kerajaan Malaysia sedang mengambil langkah proaktif untuk membina asas yang kukuh bagi memastikan tenaga kerja negara boleh memenuhi permintaan untuk AI merentasi pelbagai sektor, katanya.

Fadillah berkata melalui MOSTI, satu siri dialog awam dengan tokoh industri sedang diaturkan untuk memudah cara program pemahiran semula dan peningkatan kemahiran serta usaha ini menyasarkan untuk mengubah kemahiran tenaga kerja sedia ada dan melakukan penyesuaian terhadap keperluan teknologi AI.

Mengulas lanjut mengenai persidangan hari ini, beliau berkata acara ini menekankan kepentingan kerjasama strategik antara Malaysia dan United Kingdom (UK) dalam sains, teknologi dan AI.

Beliau juga optimis bahawa persidangan ini akan menjadi sebuah platform terbaik untuk mencari sokongan dan mewujudkan hubungan.

UK-MY AI 2023  akan menjadi pemangkin untuk perubahan positif bagi AI di Malaysia dan melakar  laluan baharu ke arah capaian pasaran yang lebih meluas, kata Fadillah.

Sementara itu, MOSTI dan Suruhanjaya Tinggi British Kuala Lumpur dalam kenyataan bersama memaklumkan objektif persidangan hari ini adalah untuk memupuk jalinan kerjasama dan  diplomasi teknologi yang lebih kukuh antara UK dan Malaysia.

Ini bagi menggalakkan perkongsian ilmu terutamanya dalam bidang AI di samping menyediakan dialog terbuka bagi membincangkan perkara-perkara yang berkaitan pembangunan tadbir urus standard dan piawaian AI antarabangsa yang inklusif dan bertanggungjawab, demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan bersama itu, kerjasama Kerajaan UK dan Malaysia perlu diteruskan dalam sains dan teknologi dengan terus mengukuhkan profil penyelidikan antarabangsa serta membawa gabungan kepakaran dalam sektor sains, teknologi dan industri bagi mengukuhkan lagi ekonomi kedua-dua negara. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan