KUCHING, 17 Okt: Seramai 2,000 pakar dari 130 negara akan berhimpun di bandar raya ini menerusi Perhimpunan Agung Tritahunan Majlis Antarabangsa Monumen dan Tapak (ICOMOS) 2026.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata perhimpunan bermula 17 dan berakhir pada 24 Oktober 2026 secara tidak langsung mengiktiraf usaha Sarawak dari aspek pemeliharaan budaya dan warisan.
“Mereka (pakar) akan mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat selain melawat tapak-tapak warisan budaya dan alam semula jadi di sekitar Sarawak dan Malaysia,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, perhimpunan berkenaan dijangka menjana ekonomi Sarawak dengan impak bernilai RM16.3 juta serta perbelanjaan perwakilan dianggarkan RM8.9 juta, malah membuka 1,301 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
ICOMOS 2026 juga akan memberi tumpuan kepada lima prinsip utama iaitu Rakyat, Planet, Kemakmuran, Keamanan dan Perkongsian yang direka bentuk dan sejajar dengan matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Menerusi ICOMOS 2026, kita menyasarkan untuk belajar cara memodenkan dan melindungi aset budaya dan warisan kita. Selain itu, kita juga berharap dapat mempelajari cara memelihara budaya dan warisan selari dengan peredaran zaman,” katanya. – TVS