IPOH, 17 Okt: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemui tidak sedarkan diri di dalam mesin basuh pakaian di sebuah rumah di Kampung Sungai Tapah Tambahan, Manjoi di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Yahaya Hassan berkata, mangsa disedari berada di dalam mesin basuh itu oleh neneknya kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum segera dikejarkan ke hospital.
“Kejadian berlaku ketika mangsa berada di rumah itu bersama ahli keluarganya yang lain.
“Pihak ambulans mengesahkan mangsa telah meninggal dunia pada pukul 11.02 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujar beliau, hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mengesahkan mangsa maut akibat kecederaan pada kepala akibat objek tumpul.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 (Akta 611). – TVS