SIBU, 17 Okt: Seramai sembilan penghuni hilang tempat tinggal selepas dua buah rumah di Jalan Kapor, Bukit Lima dekat sini terbakar awal pagi tadi.
Kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu mengakibatkan kedua-dua buah berstruktur tidak kekal berkenaan musnah keseluruhan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.42 pagi.
“Sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral telah digerakkan ke lokasi kejadian untuk melakukan operasi pemadaman.
“Setibanya di lokasi, komander operasi melaporkan api sedang marak membakar dua buah rumah di lokasi dan seterusnya memulakan kerja-kerja pemadaman secara ‘offensive dan ‘defensive’ dengan tindakan awal membentangkan tiga aliran hos menggunakan sumber air terbuka dari parit berdekatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, anggota bomba mengalami masalah disebabkan tiada pili bomba serta sumber air terhad di lokasi kejadian.
“Halangan itu, tidak melemahkan semangat pasukan keluaran operasi untuk terus memadamkan api sehingga terkawal pada jam 3.10 pagi.
“Seterusnya, kerja-kerja overhaul dilakukan sehingga api padam sepenuhnya pada jam 4.15 pagi,” katanya.
Tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan Unit Penyiasatan Kebakaran JBPM Zon 4 Sibu. -TVS