IPOH, 16 Okt: Seorang wanita terkejut selepas menemui dua rangka manusia tanpa jantina di atas bumbung sebuah bangunan sebuah syarikat di Sitiawan dekat sini hari ini.
Saksi yang menjumpai serpihan rangka tersebut kira-kira 10.20 pagi kemudiannya memaklumkan kejadian itu kepada polis.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner (ACP) Mohamed Nordin Abdullah berkata, siasatan pihaknya di lokasi mendapati tulang tersebut dijumpai berdekatan beberapa barangan seperti sehelai bendera Perak dan potongan pita pelekat berwarna hitam.
“Turut ditemui adalah cebusan kain bercorak warna-warni dan cebisan baju kemeja berwarna putih yang kotor.
“Terdapat juga sarung bantal berwarna biru bersama dua bungkusan pastik yang berisi disyaki tengkorak manusia dan sebilah pisau berhulu hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ujarnya, polis sedang melakukan siasatan lanjut berhubung penemuan itu dan rangka berkenaan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun dekat sini untuk dibedah siasat.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. -TVS