KUCHING, 16 Okt: Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak merupakan satu-satunya institusi di dunia yang mendapat projek penyelidikan dan inovasi terbanyak dibiayai Kesatuan Eropah (EU).
Rektor UiTM Cawangan Sarawak, Profesor Datuk Dr Jamil Hamali berkata, sebanyak tujuh projek kolabrasi yang dilakukan antara UiTM Cawangan Sarawak bersama EU.
Menurutnya, antaranya menjurus ke arah mempertingkatkan pengajaran, mekanisme penilaian untuk kakitangan dan pelajar universiti, jaminan kualiti, pengurusan, tadbir urus, kapasiti digital dan keusahawanan dan banyak lagi.
“Beberapa hari lepas, penyelidik dari EU mengunjungi UiTM selepas kunjungan hormat bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk mengiktiraf UiTM Sarawak sebagai institusi yang paling banyak menjalankan projek bersama EU.
“Keseluruhannya, kita (UiTM Sarawak) telah berkolabrasi dengan 71 institusi di seluruh dunia,” katanya ketika berucap di Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun ke-50 UiTM Cawangan Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, ujarnya sejak 2020, UiTM Sarawak telah menandatangani sebanyak 46 Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Persetujuan (MoA) bersama pihak industri dan institut pengajian tinggi di dalam dan luar negara.
Bagi tahun 2022, sebanyak 18 Surat Niat (LOI) MoU, dan MoA telah ditandatangani bersama institut pengajian tinggi yang melibatkan Indonesia (11), Amerika Syarikat (2), Itali (1), Australia (1), Singapura (1) dan China (1). – TVS