DARO, 16 Okt: Tiga kanak-kanak lelaki masing-masing berusia 13 tahun dikhuatiri lemas manakala seorang lagi selamat ketika mandi-manda di Sungai Batang Lassa dekat sini pada lewat petang Ahad.
Ketiga-tiga mangsa telah dikenali pasti sebagai Herodias Enggung dan Sebastian Oziel Seman Umpi berasal dari Rumah Jelam manakala Aldrin Dambang Allan Kiai berasal dari Rumah Lawrence.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 3, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Balai Polis Daro berhubung kejadian pada 6.37 petang.
Katanya, lapan anggota bomba telah dikejarkan ke lokasi kejadian untuk mengambil maklumat dan melakukan operasi pencarian.
“Setibanya di lokasi, pihak bomba terus memulakan operasi pencarian bersama pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta penduduk kampung menggunakan sebuah perahu.
“Pencarian dijalankan menggunakan kaedah ‘water surface searching’ dan ‘grappling iron’ di sekitar kawasan tempat kejadian,” katanya.
Andy berkata, operasi pencarian dijalankan selama satu jam namun pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) gagal menemui sebarang petunjuk mangsa.
“Berdasarkan maklumat awal yang diterima, saksi kejadian memberitahu bahawa empat budak lelaki sedang mandi-manda di Sungai Batang Lassa apabila arus air deras menghanyutkan tiga daripada mereka manakala seorang lagi terselamat,” katanya.
Operasi pencarian ditangguhkan pada jam 7.45 petang dan akan disambung semula pada pagi Isnin. -TVS