SARIKEI, 16 Okt: Seorang maut manakala empat lagi cedera selepas pacuan empat roda yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Sungai Paoh di sini, malam tadi.
Mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti Julia Chenderang, 54 yang duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Penolong Penguasa Bomba Mahmudin Narudin berkata, insiden kira-kira jam 11.35 malam itu berlaku ketika kenderaan mangsa dipercayai dalam perjalanan menghala ke Sibu manakala lori pula dari arah yang bertentangan.
“Pertembungan antara dua buah kenderaan itu mengakibatkan lori terbabit terbabas manakala pacuan empat roda mengalami kerosakan teruk,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sepasukan anggota bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 11.39 malam.
Sebaik tiba di lokasi katanya bomba mendapati di dalam pacuan empat roda itu terdapat lima orang mangsa dan salah seorangnya masih tersepit di bahagian tempat duduk penumpang hadapan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Kita berjaya mengeluarkannya namun mangsa telah disahkan meninggal di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan. Mayatnya diserahkan kepada pihak polis sebagai tindakan lanjutnya,” katanya.
Dalam pada itu, pemandu lori dan kelindan yang masing-masing berusia 43 dan 27 tahun terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.- TVS