KUCHING, 16 Okt: Polis Sarawak merampas dadah syabu bernilai RM1.4 juta selepas menahan lima individu dalam dua serbuan berasingan di Bintawa dan Stutong di sini, Khamis lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, dalam kejadian bermula jam 10.45 pagi hingga 2.20 petang itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak menahan dua suspek wanita dan tiga lelaki berusia antara 17 hingga 22 tahun.
Katanya, dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah syabu seberat 42.2 kilogram yang disimpan di sebuah hotel di Jalan Nanas serta sebuah kenderaan Perodua Aruz.
“Kita percaya suspek memperoleh bekalan dadah dari rakan sejenayah di Semenanjung Malaysia.
“Ia (dadah) dibawa masuk ke Kuching, Sarawak menggunakan kapal terbang dan dadah-dadah ini adalah untuk pasaran di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sarawak hari ini.
Mohd Azman berkata, kejayaan terbabit yang merupakan antara rampasan dadah terbesar setakat ini merupakan sebahagian daripada Op Tapis Khas yang dilaksanakan oleh Polis Sarawak bermula 10 hingga 12 Oktober lalu.
Katanya sepanjang operasi tersebut, seramai 278 individu berusia berusia antara 15 hingga 63 tahun telah ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.
“Sepanjang Op Tapis Khas 1 hingga Op Tapis Khas 4 dijalankan dalam bulan Januari, Februari, Julai dan Oktober 2023, seramai 1,332 orang telah ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah,” katanya. -TVS