DARO, 16 Okt: Radius pencarian operasi mencari dan menyelamat (SAR) tiga kanak – kanak lelaki yang dikhuatiri lemas di Sungai Batang Lassa diperluaskan sehingga ke muara sungai.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Bomba Kanan (PgKB 1) Andy Alie berkata, usaha itu dilakukan selepas pencarian mangsa sehingga 12 tengah hari tadi tidak berhasil.
“Operasi pencarian dilakukan sehingga dua kilometer (km) menuju ke hilir sungai dan muara sungai.
“SAR juga dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukrelawan Malaysia (RELA), Pasukan Bomba Sukarela, Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS), Pasukan Polis Marin (PPM Sarikei) dan seramai 43 orang penduduk kampung,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang semalam, tiga remaja berusia 13 tahun itu dihanyutkan arus deras ketika sedang mandi di sungai berkenaan.
Sementara itu Andy memberitahu, mangsa yang hilang ialah Herodias Enggung dan Sebastian Oziel Seman Umpi berasal dari Rumah Panjang Jelam manakala Aldrin Dambang Allan Kiai dari Rumah Panjang Lawrence.
“Difahamkan kesemua mangsa dikhuatiri lemas kerana tidak pandai berenang,” jelasnya. -TVS