PUTRAJAYA, 16 Okt: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan memastikan peruntukan RM3.52 bilion yang diterima menerusi Belanjawan 2024 disalurkan sebaik mungkin kepada golongan sasar, kata Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Projek Amal Kasih Prihatin Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di sini hari ini, Nancy berkata KPWKM akan menggunakan sistem dan kaedah saluran peruntukan sedia ada bagi pengagihan dana kepada mereka yang memerlukan.
“Nama-nama mereka sudah disenaraikan, terutama penerima bantuan kebajikan. Kaedah penyaluran kepada golongan sasar nanti adalah sama,” katanya.
Menerusi Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Okt, KPWKM diperuntukkan RM3.52 bilion, antaranya merangkumi bantuan bagi orang kurang upaya (OKU), warga emas dan peruntukan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Terdahulu, Nancy yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN menyampaikan sijil penghargaan kepada penaja dan sukarelawan yang terlibat dalam Projek Amal Kasih Prihatin YKN, dengan 1,000 kotak penjagaan diri dan sumbangan makanan akan diedarkan kepada golongan memerlukan dalam masa terdekat.
Ia termasuk sumbangan bantuan perayaan, persekolahan dan mangsa banjir terdiri daripada empat jenis kotak sumbangan iaitu Kit Kasih Nita, Kit Kasih Si Manja, Kit Kasih Keluarga dan Kit Kasih Komuniti. -TVS