ALOR SETAR, 15 Okt: Seorang tukang gunting rambut direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes penemuan seorang bayi perempuan baharu lahir di dalam bakul pakaian di kawasan ladang getah di Kampung Datuk Syed Ahmad, Pendang dekat sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, penahanan suspek lelaki berusia 20-an itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
Katanya, polis pada Sabtu telah menahan dua individu iaitu seorang lelaki dan perempuan disyaki ibu bayi tersebut secara berasingan di Sik dekat sini.
“Tangkapan dibuat susulan penemuan bayi perempuan dalam keadaan berbalut kain batik dan tuala di dalam bakul di tepi jalan kira-kira pukul 7.05 malam pada Jumaat.
“Pemeriksaan lanjut oleh kakitangan Klinik Kesihatan Sungai Tiang, Pendang mendapati terdapat uri serta tali pusat bersama bayi yang masih hidup itu,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar beliau, polis bagaimanapun melepaskan suspek wanita yang bekerja di kedai telefon bimbit itu dengan jaminan kerana faktor kesihatan. – TVS